rVd's GrEEtinG...

">

rVd's GrEEtinG...

Rabu, 23 Februari 2011

Sintaksis Bahasa Melayu

1.0 PENGENALAN
Bahasa Melayu mempunyai berbagai-bagai jenis ayat untuk menyatakan maksud yang sama. Ciri-ciri ini menyebabkan bahasa Melayu merupakan sebuah bahasa yang sentiasa hidup serta menarik. Jika hanya satu jenis ayat saja yang digunakan akan timbul rasa jemu pada pembaca. Oleh sebab itu, sasterawan dan penulis yang baik selalu menggunakan jenis-jenis ayat yang lain, sesuai dengan keperluan. Ahli bahasa mempunyai pelbagai takrifan terhadap ayat bergantung pada teori atau pendekatan yang dianutinya. Takrif ayat oleh ahli bahasa tatabahasa tradisional ialah a sentence is a group of words expressing a complete thought, C.C. Fries (1963:9). Tegasnya, syarat sesebuah ayat ialah wujudnya fikiran yang lengkap.
Menurut Blommfield (1991: 170), pendukung tatabahasa struktural, ayat ialah ...a contruction (or form) which, in the given etterance, is not part of any large construction. Tambahnya lagi, sebanyak mana ayat yang diujarkan oleh seseorang, namun setiap ayat itu bebas dan tidak terikat oleh satu bentuk linguistik yang besar. Hal ini kerana ayat dianggap sebagai unit tatabahasa terbesar dan tertinggi.
Ayat menurut Nik Safiah Karim et al. (1993: 414) ialah unit pengucapan yang paling tinggi letaknya dalam susunan tatabahasa dan mengandungi makna yang lengkap. Daripada definisi ayat di atas, ciri-ciri ayat itu diucapkan dengan didahului oleh kesenyapan, dan diakhiri dengan kesenyapan. Selain itu, sebuah ayat itu selalu mengandungi makna. Umpamanya:
Muaz murid tahun 5 di SK Methodist. Dia ke sekolah jam 6.45 pagi. Sekolahnya terletak 15 kilometer dari rumahnya. Dia ke sekolah dengan menaiki bas.
Daripada contoh tersebut, ayat itu terdiri daripada empat ayat. Setiap ayat dimulai dengan huruf besar dan diakhiri dengan tanda noktah. Apabila dibaca, setiap ayat tersebut dimulai dengan kesenyapan dan diakhiri dengan kesenyapan juga. Setelah diam, kemudian dimulai lagi dengan ayat berikutnya, dan diam lagi. Demikianlah seterusnya. Jadi, kesenyapan pada awal dan akhir itulah yang menandai sesebuah ayat. Di samping itu, setiap ayat ditandai juga dengan intonasi yang menunjukkan bahawa bahagian ujaran itu sudah lengkap. Akhirnya, kesemua ayat yang diujarkan tersebut mengandungi makna sebagai syarat sebuah ayat.
Jumlah ayat dalam sesuatu bahasa tidak terkira banyaknya. Namun, dalam analisis sintaksis, terdapat pelbagai jenis ayat yang boleh dirangkumkan kepada jumlah klausa, jenis ayat, susunan ayat dan ragam ayat. (Ahmad Khair Mohd Noor, 2003: 2).

2.0 DEFINISI AYAT MENURUT
2.1 ZA’BA
Za’ba dalam buku Pelita Bahasa Melayu, Penggal 1 (Permulaan Nahu Melayu) memberikan definisi ayat sebagai berikut:
“Ayat memakai susunan perkataan yang sekumpul-sekumpul dengan tentu hujung pangkalnya dan tempat-tempat berhentinya, serta memberi faham yang sempurna tiap-tiap sekumpul kata yang dikatakan itu.
...maka tiap-tiap sekumpul perkataan itu ialah susunan yang sempurna maksudnya.”

( Pelita Bahasa Melayu Penggal 1, 1965 hlm. 251)

2.2 ASRAF
Dalam buku Petunjuk Bahasa Malaysia Baku KBSM, Asraf memberikan definisi ayat seperti yang berikut:
“Bentuk bahasa yang terjadi dengan adanya sekumpulan kata yang tersusun kepada dua bahagian, iaitu subjek dan predikat.”
(Petunjuk Bahasa Malaysia Baku KBSM, 1990 hal. 227)

2.3 ASMAH HAJI OMAR
Menurut Asmah Haji Omar dalam buku Nahu Melayu Mutakhir:
“Ayat adalah unit yang paling tinggi dalam skala tatatingkat nahu. Ayat terdiri daripada klausa yang disertai dengan intonasi ayat yang lengkap, yakni yang dimulai dengan kesenyapan dan diakhiri dengan kesenyapan dan intonasinya menyatakan bahawa ayat itu sempurna dan selesai.”
(Nahu Melayu Mutakhir, 1993 hal. 355)


2.4 ABDULLAH HASSAN
Abdullah Hassan bersama Ainon Mohd. Dalam buku mereka yang berjudul Tatabahasa Dinamika memberikan definisi ayat sebagaimana berikut:
“Apabila kita bercakap, kita menggunakan perkataan-perkataan yang kita susun menjadi ayat.... Ada ayat yang terdiri daripada dua patah perkattan sahaja... Tiap-tiap ayat mesti terdiri daripada dua bahagian: bahagian 1, benda atau subjek; bahagian 2, cerita atau predikat.”
(Tatabahasa Dinamika, 1994 hal. 284-285)

2.5 ARBAK OTHMAN
Arbak Othman pula dalam bukunya Nahu Bahasa Melayu mengatakan:
“Ayat ialah satu ikatan perkataan yang mengandungi subjek dan predikat. Ikatan perkataan ini mempunyai susunan berdasarkan tekanan, intonasi dan hentian yang tertentu serta membawa satu fikiran atau idea yang lengkap.”
(Nahu Bahasa Melayu, 1989 hal. 116)

2.6 ABDULLAH HAMID MAHMOOD
Abdul Hamid Mahmood dalam bukunya Betulkan Kesalahan Bahasa Anda mendefinisikan ayat seperti yang berikut:
“Ayat ialah unit pengucapan yang mengandungi makna yang lengkap. Ayat boleh terbentuk daripada satu atau beberapa perkataan yang diucapkan dengan intonasi yang sempurna.”
(Betulkan Kesalahan Bahasa Anda, 1994 hal. 60)

2.7 NIK SAFIAH KARIM
Dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi Baharu, Nik Safiah Karim dan rakan-rakan, Farid M. Onn, Hashim Musa dan Abdul Hamid Mahmood memberikan pengertian ayat sebagai:
“Ayat ialah unit pengucapan yang paling tinggi letaknyadalam susunan tatabahasa dan mengandungi makna yang lengkap. Ayat boleh terbentuk daripada satu perkataan atau susunan beberapa ayat perkataan yang pengucapannya dimulakan dan diakhiri dengan kesenyapan.”
(Tatabahasa Dewan Edisi Baharu, 1993 hal.414)
Berdasarkan pelbagai definisi ayat yang diberikan oleh sarjana dan ahli bahasa, kita dapat membuat kesimpulan bahawa ayat terdiri daripada susunan perkataan yang diucapkan dengan intonasi atau tatabahasa yang sempurna serta mempunyai makna. Ayat yang diucapakan dengan cara bermula dengan kesenyapan, dan berakhir dengan kesenyapan juga. Andainya satu-satu pengucapan itu diucapkan dengan intonasi atau lagu bahasa yang tidak sempurna, atau ayat itu tidak mempunyai makna yang sempurna, walaupun strukturnya panjang, tidaklah dapat kita namakannya sebagai ayat.
Noam Chomsky, ahli bahasa Amerika yang terkenal memberikan contoh ayat berikut:
Mengikut Colorless green ideas sleep furiously, walaupun susunan perkataan dalam ayat tersebut kelihatan sempurna dari segi struktur ayat Bahasa Inggeris, tetapi ayat ayat itu masih dianggap bukan ayat sebab ayat itu tidak mendukung makna yang lengkap. Maksudnya, ayat tersebut tidak boleh diterima akal, kerana makna yang didukung tidak munasabah. Dalam mana-mana bahasa pun, ayat boleh dihasilkan seberapa banyak yang kita mahu, dan tidak terhad bilangannya. Ayat yang dihasilkan itu hendaklah sempurna, iaitu gramatis dan maknanya juga sempurna, iaitu munasabah.


3.0 AYAT DASAR
3.1 KONSEP AYAT DASAR
Ayat dasar juga dikenali sebagai ayat inti, iaitu ayat yang terbentuk daripada unsur-unsur utama yang wajib, iaitu yang tidak mengandungi sebarang keterangan di dalamnya (Arbak Othman, 1985:166). Dengan demikian, ayat dasar ialah ayat yang tidak mengandungi tambahan unsur pada frasa subjek atau frasa predikat ( Nik Safiah et al., 1993:323).
Awang Sariyan (1986:30) menyatakan bahawa ayat dasar adalah ayat yang menjadi dasar terbitnya ayat-ayat yang lain, maka binaan ayat dasar paling ringkas. Konstituen subjek dan predikatnya diisi oleh frasa inti, dengan erti kata tidak disertai penerang (bagi frasa nama), tidak disertai pelengkap (bagi frasa adjektif dan bagi frasa kerja yang terbentuk daripada kata kerja intransitif).
Ayat (1a) lebih dasar daripada ayat (1b) kerana ayat tersebut wujud tanpa unsur tambahan pada frasa subjek atau frasa predikat, serta pada konstituen keterangan ayat tersebut. Selain itu, tidak ada bentuk yang lebih dasar daripada ayat (1a) tersebut.
1a. Jamal berdiri.
1b. Jamal berdiri di depan pintu.
Konsep ayat dasar oleh Nik Safiah Karim et al. (1993:418) ialah ayat yang menjadi dasar atau sumber bagi pembentukan semua ayat lain dalam sesuatu bahasa. Dengan mengambil contoh ayat (2) dan (3) yang berikut, ayat 2 ialah ayat dasar dan ayat 3 ialah ayat tunggal. Hal ini demikian kerana ayat 2 “Mastura cerdik” menjadi sumber dalam menerbitkan ayat 3 iaitu “Mastura tidak cerdik”. Bentuk ayat 2 akan muncul dahulu bagi menerbitkan ayat 3.
2. Mastura cerdik.
3. Mastura tidak cerdik.
Selain itu, sesuatu ayat itu sama ada pendek atau panjang dapat dikenal binaan dasar atau asasnya. Ayat 4 merupakan ayat majmuk, tetapi masih dapat dikenal binaan dasarnya.
4. Mariam Ariana ke bilik lalu bersalin pakaian.


Pada ayat 4, ayat ini mengandungi dua klausa, iaitu:
4a. Mariam Ariana ke bilik.
4b. lalu bersalin pakaian.
Klausa 4a lebih dasar daripada klausa 4b kerana klausa 4a dapat berdiri sendiri sebagai ayat yang lengkap. Sebaliknya, tidak demikian pada klausa 4b kerana klausa ini bergantung pada klausa sebelumnya. Dalam hal ini, ayat 4a adalah dasar dan menjadi rangka bagi ayat 4 tersebut.

3.2 POLA AYAT DASAR
Ahli bahasa mempunyai pandangan yang berbeza tentang jumlah pola ayat dasar dalam bahasa Melayu. Dalam bahasa Melayu, struktur frasa digolongkan kepada empat, iaitu frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif dan frasa sendi nama. Frasa-frasa tersebut digabungkan atau digandingkan antara satu dengan yang lainnya bagi membentuk pola ayat dasar bahasa Melayu.
Pola ayat dasar dalam buku Tatabahasa Dewan terdiri daripada empat jenis pola berdasarkan jenis-jenis unsur yang hadir dalam konstituen subjek dan konstituen predikat. Memperkatakan predikat bererti memperkatakan pola ayat kerana pola-pola ayat ditentukan dengan berdasarkan apa yang menjadi predikatnya.
Pola Subjek Predikat
Pola 1
(FN + FN) Balqis
Frasa Nama pelajar sekolah.
Frasa Nama
Pola 2
(FN + FK) Miqhaeil
Frasa Nama sedang makan nasi.
Frasa Kerja.
Pola 3
(FN + FA) Lelaki itu
Frasa Nama pemurah.
Frasa Adjektif
Pola 4
(FN + FSN) Kakak
Frasa Nama di dalam bilik.
Frasa Sendi Nama

Daripada pola-pola tersebut, jelas bahawa ayat dasar terdiri daripada satu frasa nama sebagai subjek dan satu frasa lagi sebagai predikat. Frasa yang dapat menjadi predikat ayat ialah frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif atau frasa sendi nama. Gabungan frasa-frasa tersebut membentuk ayat dasar bahasa Melayu.

3.3 CIRI-CIRI AYAT DASAR
Ayat dasar dapat dikenal berdasarkan ciri-ciri yang berikut, iaitu:
(a) Mengandungi satu klausa
(b) Berpola Subjek-Predikat (susunan biasa)
(c) Ayat penyata
(d) Ayat aktif
(e) Berpotensi untuk peluasan
(f) Tidak mengandungi kata hubung

(a) Mengandungi Satu Klausa
Setiap ayat dasar mesti mengandungi satu klausa yang lengkap dan klausa tersebut perlu mengandungi satu subjek dan satu predikat.
5a. Ismaeel berdiri.
5b. Bahawa Ismaeel berdiri.
Ayat 5a ialah ayat dasar kerana dapat berdiri sendiri sebagai ayat yang lengkap, tidak bergantung pada bentuk lain, selain mengandungi satu subjek dan satu predikat. Namun, pada klausa 5b, klausa ini bukan lagi ayat dasar. Hal ini demikian kerana klausanya tidak lengkap dan terpaksa bergantung pada klausa yang lain. Sesebuah klausa lengkap itu hanya menjadi ayat dasar jika tidak ada bentuk yang lebih dasar daripada ayat dasar tersebut. Contohnya:
6. Pelajar-pelajar bersenam.
7. Bersenam menyihatkan badan.
Ayat 6 dari segi makna lebih dasar dan lebih lengkap daripada ayat7. Ayat 7 walaupun mengandungi satu klausa, satu objek dan satu predikat, tetapi subjek ini ialah kata kerja yang berfungsi sebagai kata nama. Dalam hal ini, subjeknya telah mengalami proses pengguguran dan tidak lagi mempertahankan frasa nama yang menjadi konstituen subjek dalam ayat dasar.

(b) Berpola Subjek-Predikat
Ayat dasar mempunyai struktur subjek-predikat. Susunan subjek-predikat seperti pada ayat 8a dan ayat 9a merupakan susunan biasa dan lebih dasar daripada susunan predikat-subjek seperti pada 8b dan 9b. Selain itu, dalam bahasa, unsur yang menjadi subjek sering disebut dahulu berbanding predikat. Ayat 8b dan 9b terbit daripada ayat 8a dan 9a.

8a. Irfan bermain bola di padang.
8b. Bermain bola Irfan di padang.
9a. Pokok kelapa itu tinggi.
9b. Tingginya pokok kelapa itu.

(c) Ayat Penyata
Dilihat daripada kewujudannya, ayat penyata lebih dasar dan lebih lengkap daripada ayat jenis lain seperti ayat perintah atau ayat tanya. Ayat penyata seperti ayat 10 lebih jelas dari segi maknanya, malah strukturnya pula lebih lengkap berbanding daripada ayat jenis lain.
Ayat perintah seperti 11 merupakan ayat yang tidak lengkap dari segi makna mahupun strukturnya kerana lebih cenderung untuk tidak menyebut orang yang diperintahkan. Demikian juga ayat tanya seperti pada ayat 12 dikatakan tidak lengkap tanpa disertai dengan jawapannya.
10. Hazim memakai baju.
11. Pakailah baju!
12. Adakah kau mahu memakai baju?


(d) Ayat Aktif
Apabila predikat kata dasar mengandungi kata kerja, maka kata kerja tersebut mestilah kata kerja aktif. Hal ini demikian kerana ayat aktif lebih dasar daripada ayat pasif disebabkan oleh ayat pasif diturunkan daripada ayat aktif. Selain itu, ayat aktif lebih lengkap daripada ayta pasif kerana ayat pasif tidak boleh disertai pelaku. Hal ini tidak boleh berlaku dalam ayat aktif kerana ayat aktif tanpa pelaku menyebabkan ayat itu tidak lengkap.
13. Ibu mencium adik.
14.Adik dicium oleh ibu.
15. Adik dicium.

(e) Berpotensi untuk Perluasan
Setiap ayat dasar diperluas dengan menambahkan unsur-unsurnya. Hal ini demikian kerana ayat yang panjang adalah hasil daripada peluasan ayat dasar. Selain itu, ayat dasar dapat diperkembangkan atau diperluas bagi menerbitkan ayat jenis lain. Misalnya, ayat dasar 16 dapat menjadi ayat terbitan atau turunan kepada ayat 17 hingga 20. Ayat 17 mengalami perubahan struktur (perluasan predikat), ayat 18 mengalami perubahan erti nahuan (pengingkaran/ ayat positif kepada ayat negatif), ayat 19 mengalami perubahan fungsi (ayat penyata kepada ayat tanya), dan ayat 20 mengalami perubahan bentuk (ayat tunggal kepada ayat majmuk).
16. Hanani pandai.
17. Hanani mungkin paling pandai.
18. Hanani tidak pandai.
19. Hanani pandai, bukan?
20. Adawiah tahu bahawa Hanani pandai.

(f) Tidak Mengandungi Kata Hubung
Ayat dasar tidak mengandungi unsur yang boleh dihubungkan oleh kata hubung dengan unsur yang lain.
21. Setelah melihat Hazim, Husna membuka pintu.
22. Setelah melihat Hazim.
23. Husna membuka pintu.

Ayat 21 bukan ayat dasar kerana terdiri daripada klausa yang mengandungi kata hubung setelah. Kehadiran klausa 22 selalu diikuti atau mengikuti klausa 23. Oleh sebab itu, klausa 22 tidak dapat berdiri sebagai ayat mandiri, sedangkan klausa 23 dapat menjadi ayat yang mandiri. Selain itu, makna klausa 22 hanya dapat diketahui daripada klausa 23.


4.0 AYAT TERBITAN
Ayat terbitan ialah ayat yang telah mengalami perubahan daripada ayat dasar. Perubahan ini berlaku melalui tiga proses, iaitu penyusunan semula, peluasan dan pengguguran. Ayat yang dihasilkan melalui tiga proses ini dinamakan ayat terbitan atau ayat transformasi.

4.1 PROSES PENYUSUNAN SEMULA
Ayat yang mengalami proses penyusunan semula ialah ayat yang diubah daripada ayat dasar kepada ayat bentuk baharu seperti ayat pasif, ayat yang mengandungi dua objek dan ayat songsang. Dalam proses penyusunan semula bentuk perkataan dalam ayat asal diubah susunannya dan diterbitkan semula dalam ben bentuk ayat baharu. Dalam proses penyusunan semula ayat ini, biasanya akan berlaku perubahan sama ada kata-kata tertentu telah diubah, diganti atau digugurkanbagi menerbitkan bentuk ayat baharu yang gramatis. Namun demikian, pada umumnya makana ayat tidak berubah walaupun ayat itu mengalami proses penyusunan semula. Dalam Bahasa Melayu, terdapat tiga proses penyusunan semula ayat, iaitu:
4.1.1 Penyusunan semula objek ayat aktif menjadi subjek ayat pasif
4.1.2 Penyusunan semula objek sipi menjadi objek tepat
4.1.3 Penyusunan semula menjadi ayat songsang



4.1.1 Penyusunan Semula Objek Ayat Aktif Menjadi Subjek Ayat Pasif
Penyusunan semula ayat terbitan jenis ini berlaku melalui proses menukar ayat aktif kepada ayat pasif. Frasa nama yang menjadi objek dalam ayat aktif disusun semula menjadi subjek dalam ayat pasif dalam contoh berikut:
Ayat aktif: Mikael menendang bola.
Ayat pasif: Bola ditendang oleh Mikael.
Bola yang menjadi objek dalam ayat aktif diubah dan disusun semula menjadi subjek dalam ayat pasif.

4.1.2 Penyusunan Semula Objek Sipi Menjadi Objek Tepat
Penyusunan semula boleh dilakukan pada ayat yang mengandungi dua objek, iaitu objek tepat dan objek sipi dalam ayat 1, buku disusun semula menjadi objek tepat dalam ayat 2:
1. Pengetua menghadiahi Aisyah buku.
2. Pengetua menghadiahkan buku kepada Aisyah.
Buku menjadi objek sipi dalam ayat 1 diubah dan disusun semula menjadi objek tepat dalam ayat 2.

4.1.3 Penyusunan Semula Menjadi Ayat Songsang
Penyusunan semula ayat boleh dilakukan dengan cara menyongsangkan ayat. Maksudnya ayat biasa disusun semula menjadi ayat songsang. Perhatikan contoh yang berikut:
1. Anak lelaki Pak Hamid melanjutkan pelajaran ke universiti.
2. Melanjutkan pelajaran ke universiti, anak lelaki Pak Hamid.
Bahagian predikat dalam ayat 1 diubah tempat dan disusun semula menjadi ayat songsang. Perhatikan contoh yang berikut:







4.2 PROSES PELUASAN
Ayat yang mengalami proses peluasan merupakan ayat terbitan daripada ayat dasar yang ditambah dengan unsur-unsur yang baharu atau perkataan lain. Dalam Bahasa Malaysia terdapat beberapa jenis proses peluasan, antaranya:
4.2.1 Peluasan frasa nama sebagai subjek
4.2.2 Peluasan frasa nama sebagai predikat
4.2.3 Peluasan dengan kata hubung
4.2.4 Peluasan melalui proses komplementasi


4.2.1 Peluasan Frasa Nama Sebagai Subjek
Peluasan frasa nama sebagai subjek dilakukan melalui proses relativasi, iaitu dengan cara memancangkan ayat baharu yang menggunakan frasa relatif yang ke dalam satu ayat lain. Contohnya: Ayat (1) dipancangkan masuk dengan ayat (2) untuk menjadi ayat (3):
1. Doktor itu memeriksa pesakit.
2. Doktor itu abang saya.
3. Doktor yang memeriksa pesakit itu abang saya.
Ayat 3 mengalami proses peluasan frasa nama subjek dengan cara memancangkan frasa relatif yang bagi menggantikan frasa subjek doktor itu yang sama atau serupa yang sepatutnya berulang dalam ayat, tetapi digugurkan.


4.2.2 Peluasan Frasa Nama Sebagai Predikat
Peluasan frasa nama sebagai predikat boleh dilakukan dengan cara memancangkan frasa relatif yang bagi menggantikan frasa nama yang sama atau serupa dengan frasa nama predikat yang digugurkan. Contoh ayat 1 dipancang masuk ke dalam ayat 2 menjadi ayat 3.
1. Kakak saya membaca novel.
2. Novel itu tebal.
3. Kakak saya membaca novel yang tebal.
Ayat 3 mengalami proses perluasan predikat dengan cara memancangkan frasa relatif yang bagi menggantikan frasa nama yang sama atau berulang dalam predikat, tetapi digugurkan iaitu novel itu.


4.2.3 Peluasan Dengan Kata Hubung
Peluasan ayat melalui penggunaan kaya hubung boleh dilakukan dengan cara menggabungkan dua ayat atau lebih dengan menggunakan kata hubung seperti dan, serta, tetapi, lalu, jika, walaupun, sungguhpun, kerana dan sebagainya. Berikut adalah contoh-contohnya:
1a. Azli membaca akhbar.
1b. Azman membaca akhbar.
menjadi
1c. Azli dan Azman membaca akhbar.

2a. Aqeim membuat lawatan ke Terengganu.
2b. Rakan-rakannya membuat lawatan ke Terengganu.
menjadi
2c. Aqeim serta rakan-rakannya membuat lawatan ke Terengganu.

3a. Pemburu itu terserempak dengan serigala itu.
3b. Ia menembaknya.
menjadi
3c. Pemburu itu terserempak dengan serigala itu, lalu ia menembaknya.

4a. Pelajar itu tidak ke sekolah kelmarin.
4b. Dia sakit.
menjadi
4c. Pelajar itu tidak ke sekolah kelmarin kerana dia sakit.


4.2.4 Peluasan Melalui Proses Komplementasi
Peluasan ayat boleh juga dilakukan melalui proses komplementasi, iaitu proses mengubah ayat menjadi satu frasa nama dan memancangkannya pada satu ayat lain sebagai ayat komplemen atau pelengkap. Ayat yang melalui proses komplementasi ini lazimnya didahului oleh kata komplemen bahawa seperti dalam ayat 3 yang berikut:
a. Askar itu melaporkan (sesuatu)
b. Dia telah membunuh tiga orang musuh.
menjadi
c. Askar itu melaporkan bahawa dia telah membunuh tiga orang musuh.


4.3 PROSES PENGGUGURAN
Proses pengguguran ialah proses penerbitan ayat terbaharu yang terbentuk daripada dua atau lebih ayat dasar yang mempunyai unsur yang sama atau serupa baik pada bahagian subjek, mahupun bahagian predikat. Salah satu daripada unsur yang sama yang tidak perlu diulang itu digugurkan, misalnya subjek yang sama, atau kata kerja yang sama, atau objek yang sama.
Dalam Bahasa Malaysia, terdapat tiga jenis pengguguran utama, iaitu:
4.3.1 Pengguguran frasa nama sebagai subjek
4.3.2 Pengguguran frasa predikat
4.3.3 Pengguguran frasa nama yang mendahului frasa relatif


4.3.1 Pengguguran Frasa Nama Sebagai Subjek
Pengguguran frasa nama sebagai subjek berlaku melalui dua proses berikut:
4.3.1.1 Pengguguran subjek dalam ayat perintah
4.3.1.2 Pengguguran subjek yang serupa dalam ayat majmuk




4.3.1.1 Pengguguran Subjek Dalam Ayat Perintah
Subjek yang digugurkan dalam ayat perintah ialah subjek yang terdiri daripada kata ganti diri orang kedua, seperti kamu, awak, anda dan seumpamanya. Contohnya:
Ayat perintah: a. Kamu keluar
menjadi
b. Keluar!

Ayat perintah: a. Awak semua pergi.
menjadi
b. Pergi!

4.3.1.2 Pengguguran Subjek Yang Serupa Dalam Ayat Majmuk
Dalam membina ayat majmuk melalui penggabungan dua ayat dasar atau lebih, kerap terdapat subjek yang sama dan berulang. Dalam hal ini, subjek yang sama itu salah satu daripadanya perlu digugurkan dalam ayat majmuk seperti dalam contoh berikut:
1a. Ramlan sangat gembira.
1b. Ramlan memenangi pingat emas.
menjadi
1c. Ramlan sangat gembira kerana memenangi pingat emas.


4.3.2 Pengguguran Frasa Predikat
Pengguguran frasa predikat dalam bahasa Malaysia berlaku melalui dua cara:
4.3.2.1 Pengguguran seluruh frasa predikat
4.3.2.2 Pengguguran bahagian-bahagian frasa predikat

4.3.2.1 Pengguguran Seluruh Frasa Predikat
Dengan pengguguran seluruh frasa predikat dimaksudkan pengguguran sebarang frasa predikat yang sama atau serupa dalam ayat majmuk. Maksudnya, jika terdapat mana-mana frasa, baik frasa nama atau frasa kerja atau frasa adjektif ataupun frasa sendi nama yang sama atau serupa dalam ayat majmuk, maka satu daripadanya perlu digugurkan supaya tidak berulang dalam ayat. Berikut diberikan contohnya:
1. Pengguguran Frasa Nama Predikat Yang Serupa
a. Heykal mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris.
b. Khairul mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris.
menjadi
c. Heykal dan Khairul mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris.

2. Pengguguran Frasa Adjektif
a. Bapa sangat rajin.
b. Anaknya sangat rajin.
menjadi
c. Bapa dan anaknya sangat rajin.

3. Pengguguran Frasa Sendi Nama
a. Pak Dollah ke Australia.
b. Isterinya ke Australia.
menjadi
c. Pak Dollah dan isterinya ke Australia.


4.3.2.2 Pengguguran Bahagian-Bahagian Frasa Predikat
Dalam ayat terbitan yang dibina turut berlaku pengguguran bahagian-bahagian tertentu dalam bahagian frasa predikat. Antaranya pengguguran:
4.3.3.1 Oleh + FN dalam ayat pasif
4.3.3.2 Kata Bantu Yang Serupa
4.3.3.3 FN sebagai objek yang serupa
4.3.3.4 FN sebagai objek selepas kata kerja yang membawa makna adjektif



4.3.2.1 Pengguguran oleh + FN yang hadir
Dalam ayat pasif frasa sendi nama oleh + FN yang hadir selepas kata kerja transitif boleh digugurkan dalam contoh berikut:
a. Penjahat itu ditangkap oleh polis.
b. Penjahat itu ditangkap polis.


4.3.2.2 Pengguguran Kata Bantu yang Serupa
Dalam menggabungkan ayat-ayat tunggal yang mengandungi kata-kata bantu yang serupa, kata bantu tersebut boleh digugurkan sehingga tinggal satu sahaja dalam ayat gabungan yang baharu seperti dalam contoh berikut:
a. Mawi boleh berlakon.
b. Mawi boleh menyanyi.
menjadi
c. Mawi boleh berlakon dan menyanyi.

4.3.2.3 Pengguguran Frasa Nama Sebagai Objek yang Serupa
Sekiranya dalam ayat-ayat tunggal yang akan digabungkan menjadi majmuk, terdapat frasa nama sebagai objek yang serupa, maka objek itu digugurkan sehingga tinggal satu objek sahaja seperti dalam contoh berikut:
a. Polis mengejar penjahat itu.
b. Polis menangkap penjahat itu.
menjadi
c. Polis mengejar dan menangkap penjahat itu.







4.3.2.4 Pengguguran Frasa Nama Sebagai Objek Selepas Kata Kerja Yang Membawa Makna Adjektif

Frasa nama sebagai objek yang hadir selepas kata kerja transitif yang membawa makna adjektif dalam ayat boleh digugurkan seperti dalam contoh berikut:
a. Peristiwa itu sungguh mendukacitakan kami.
Menjadi
b. Peristiwa itu sungguh mendukacitakan.


4.3.3 PENGGUGURAN FRASA NAMA YANG MENDAHULUI FRASA RELATIF
Pengguguran frasa nama yang mendahului frasa relatif berlaku apabila frasa nama itu direlativasikan dan digantikan dengan kata relatif seperti dalam contoh berikut:
a. Penceramah itu bapa saya. Penceramah itu memakai baju Melayu.
menjadi
b. Penceramah yang memakai baju Melayu itu bapa saya.
menjadi
c. Yang memakai baju Melayu itu bapa saya.


5.0 PENUTUP
Kesimpulannya, ayat terbentuk daripada konstituen klausa. Ayat mengandungi unsur klausa yang terdiri daripada frasa, dan frasa pula terbentuk daripada perkataan. Oleh sebab bilangan ayat yang dapat dibentuk dalam sesuatu bahasa itu tidak terhad, maka dapat diduga bahawa binaan-binaan ayat yang wujud dalam sesuatu bahasa itu terdiri daripada berbagai-bagai jenis dan ragam. Salah satu kaedah menjeniskan ayat adalah dengan melihat bilangan klausa yang terkandung dalam sesuatu ayat itu. Walaupun terdapat berbagai-bagai jenis ayat dari segi binaan dan susunannya, dan dari segi panjang pendeknya dalam sesuatu bahasa, namun jika dikaji asas binaannya, maka semua ayat itu boleh dikesan rangka dasarnya sebagai berasal daripada beberapa pola tertentu. Pola-pola rangka ayat itulah yang disebut pola ayat dasar bagi sesuatu bahasa. Daripada pola-pola ayat itulah terbit ayat yang lain sama ada ayat tunggal atau ayat majmuk, ayat pendek atau ayat panjang, ayat aktif atau ayat pasif dan sebagainya...

2 ulasan:

  1. calon2 4.o ni..kelas mu wan..

    BalasPadam
  2. arap makbul doa mung!!!
    mung pom hop dpt rezut trbaeq sem neh!!!

    BalasPadam