rVd's GrEEtinG...

">

rVd's GrEEtinG...

Selasa, 22 Februari 2011

Teori Peralihan Demografi

1.0 PENDAHULUAN
Teori Peralihan Demografi Penduduk boleh mengatur pertambahan penduduk dan proses perubahan ini berlaku dengan adanya beberapa faktor mengikut pola-pola tertentu. Teori Demografi dikemukakan untuk menerangkan bahawa semua masyarakat berkebolehan mengatur penduduk masing-masing dan aturan ini adalah hasil daripada kebiasaan sosial dan keadaan ekonomi. Teori Peralihan Demografi pula adalah satu percubaan menerangkan keadaan di mana, dalam jangka masa yang panjang, perubahan boleh berlaku kepada kadar kelahiran dan kematian yang tinggi turun menjadi rendah, dan cara bagaimana perubahan ini berlaku.
Menurut Bogue (1968), Teori Aturan Demografi didefinisikan sebagai, "Setiap masyarakat cenderung mengekalkan proses pentingnya dalam keadaan seimbang, di mana penduduk akan menggantikan kematian dengan kelahiran dan bertambah kepada had yang difikirkan perlu oleh kebiasaan umum mereka. Kebiasaan ini adalah anjal dan boleh disesuaikan dengan cepat kepada perubahan dalam kebolehan ekonomi menanggung penduduk". Penyesuaian ini melibatkan dua bentuk, iaitu menyeimbangkan antara kadar kematian dengan kadar kelahiran bagi memastikan kadar pertambahan penduduk yang dikehendaki dapat dicapai. Masyarakat yang mempunyai kadar kematian yang tinggi tidak memerlukan aturan kelahiran kerana kadar kelahiran yang tinggi diperlukan untuk menggantikan kadar kematian yang tinggi.
Menurut Abdul Majid Mat Salleh (1989) pula, peralihan demografi merupakan satu proses perubahan dalam mortaliti dan fertiliti penduduk dari satu aras yang tinggi kepada aras yang rendah. Proses ini masih lagi berterusan seiring dengan pembangunan sosioekonomi negara. Dalam membincangkan topik peralihan demografi ini, perkataan peringkat atau tahap sering digunakan. Hal ini ialah untuk menunjukkan imbangan kadar kelahiran dan kematian.
Terdapat tiga komponen penting yang terkandung dalam model peralihan demografi iaitu komponen kadar kelahiran, komponen kadar kematian dan komponen kadar pertumbuhan penduduk secara semula jadi. Ketiga-tiga komponen ini ditunjukkan secara berperingkat-peringkat mengikut perubahan masa dan salinh berkait antara satu sama lain. Secara umumnya, terdapat tiga peringkat peralihan dalam model peralihan demografi dan kesemua peringkat ini bukan sahaja ditafsirkan dari segi kependudukan malahan juga boleh mengukur tahap pembangunan ekonomi dan sosial sesebuah negara.


2.0 CIRI KEPENDUDUKAN MODEL PERALIHAN DEMOGRAFI
Terdapat tiga peringkat ciri-ciri kependudukan dalam Model Peralihan Demografi iaitu peringkat satu (tahap awal), iaitu masyarakat yang menjadikan pertanian sebagai sumber ekonomi utama, peringkat kedua (tahap pertengahan), iaitu masyarakat peralihan daripada aktiviti pertanian kepada perindustrian dan peringkat ketiga (tahap pasca), iaitu masyarakat perindustrian sepenuhnya.

SIMBER: ………………………………………………………………..

2.1 TREND PERUBAHAN DAN PERTUMBUHAN PENDUDUK DUNIA

Selepas Revolusi Pertanian berlaku di Eropah pada sekitar akhir abad ke-18, penduduk di benua tersebut, menjadi bertambah sihat kerana terdapat bekalan makanan yang banyak bagi menampung keperluan penduduk. Revolusi Perindustrian terus berlaku dengan lebih giat menyebabkan lebih banyak kemudahan kesihatan didirikan oleh pemerintah terutamanya di bandar. Pengetahuan tentang kawalan wabak penyakit berjangkit melalui penggunaan sabun untuk menjaga kesihatan, suntikan, ubat-ubatan dan sebagainya menyebabkan berlaku penurunan terhadap kadar kematian daripada 35 per 1000 orang penduduk (1750-an) kepada 16 per 1000 orang penduduk (1850-an).
Sebelum berlakunya Revolusi Perindustrian, kadar kelahiran juga adalah tinggi, iaitu kira-kira 39 per 1000 orang penduduk tetapi kadar kematian juga tinggi menyebabkan kadar pertumbuhan semula jadi penduduk adalah perlahan, iaitu kira-kira hanya 0.4 peratus setahun. Penurunan kadar kematian selepas Revolusi Perindustrian menyebabkan kadar pertambahan semula jadi penduduk dunia di Eropah bertambah dengan giat kepada 2.0 peratus setahun. Penduduk Eropah pada waktu ini dikatakan telah memasuki peringkat kedua dalam model peralihan demografi, iaitu kadar kelahiran penduduk yang tinggi diikuti oleh kadar kematian penduduk yang rendah. Hal ini menyebabkan benua Eropah mengalami ledakan penduduk yang padat pada akhir abad ke-18 (Katiman Rostam, 2002).
Pada masa ini, penduduk di negara Eropah telah melepasi tahap ketiga dalam Model Peralihan Demografi, iaitu peringkat selepas peralihan dalam model peralihan demografi (Rajah 2.1). Antara negara yang berada pada peringkat ketiga ini adalah Sweden dan Britain di Eropah, manakala Jepun di Asia. Negara-negara ini telah mencapai tahap penduduk optimum. Pengalaman yang dilalui oleh negara Barat pada akhir abad ke-18 dan ke-19 itu kini telah dialami oleh negara membangun dalam dekad kebelakangan ini. Ledakan penduduk yang berlaku di negara membangun pada kali ini lebih hebat berbanding yang pernah berlaku di Eropah pada suatu masa dahulu.
Jadual 2.2 menunjukkan beberapa petunjuk pertumbuhan penduduk di bandar membangun. Misalnya, negara Afrika seperti Kenya, Ghana, Cameroon dan sebagainya cenderung untuk menunjukkan kadar pertumbuhan penduduk yang sangat pesat. Jumlah penduduk di negara membangun adalah sebanyak 56.2 peratus daripada jumlah penduduk yang di dunia pada masa kini. Lebihan penduduk atau disebut juga ledakan penduduk yang sedang berlaku di negara membangun ini pada dasarnya boleh dikaitkan dengan taraf kesihatan yang semakin baik dan terdapat pengetahuan tentang cara-cara untuk mencegah penyakit berjangkit. Penjajahan dan penerokaan Barat serta wujud hubungan dengan negara-negara barat membolehkan proses pemodenan cara hidup tersebar ke negara membangun. Natijahnya, kadar kematian menurun dengan pesat. Bagaimanapun, oleh kerana kadar kelahiran masih tinggi, iaitu kira-kira 35 per 1000 orang penduduk, maka negara membangun kini mengalami pertambahan penduduk semula jadi pada kadar yang amat pesat.

Jadual 2.2 Penunjuk demografi menurut wilayah utama di dunia
Wilayah Penduduk (juta) Kadar Kelahiran
(/ 1000) Kadar Kematian
( /1000) Purata Kadar Pertumbuhan
( % setahun)
1997 1980 1997 1997 1997 1980-1997 1997-2015
Asia Timur 1751.2 22 19 8 9 1.5 0.9
Asia Tenggara 474.0 19 13 10 11 0.6 0.2
Amerika Selatan & Carribbean 493.9 31 23 8 7 1.9 1.3
Asia Barat & Afrika Utara 279.6 41 27 12 7 2.7 1.9
Asia Selatan 1281.3 37 29 14 9 2.1 1.4
Afrika Sub-Sahara 612.3 47 41 18 15 2.8 2.3
Eropah Barat 290.6 13 10 10 10 0.3 0.1
Amerika Utara 392.2 20 15 9 8 1.3 0.6
Oceanea 22.1 15 14 7 7 1.2 0.6
Dunia 5819.6 27 23 10 9 1.6 1.1














Sumber: World Development Indicators 1999. World Bank

3.0 CIRI KEPENDUDUKAN MODEL PERALIHAN DEMOGRAFI DI MALAYSIA
Sejak lebih daripada lima dekad yang lalu, komposisi penduduk Malaysia telah berubah baik daripada segi kadar kelahiran, struktur umur dan jantina, kadar kematian dan penghijrahan.Hal ini menunjukkan walau pun saiz penduduk Malaysia semakin meningkat tetapi akibat kemerosotan kesuburan dan kematian pembentukan saiz keluaraga yanglebih sederhana dan kecil semakin diterima masyarakat terutama di kawasan bandar. Peningkatan taraf hidup penduduk terutama dalam bidang pendidikan telah memberi impak yang besar terhadap dinamik penduduk Malaysia pada masa depan.
Sewaktu Malaysia terbentuk pada tahun 1963 dengan kemasukan Sabah dan Sarawak, penduduk negara ini hanya berjumlah sekitar 9 juta orang. Selepas pembentukan Malaysia, profil penduduknya telah berubah, bukan hanya dari segi komposisi etnik tetapi juga daripada segi pertumbuhannya. Misalnya, pada tahun 1980, jumlah penduduk Malaysia telah bertambah hampir 50 peratus selepas pembentukan Malaysia pada tahun 1963 kepada 13.7 juta orang. Dalam banci tahun 2000, penduduk Malaysia terus meningkat lagi kepada 23.3 juta orang, dan dianggarkan pada tahun 2007 ini jumlah penduduk Malaysia adalah di sekitar 27 juta orang.
Peningkatan jumlah penduduk Malaysia ini adalah dipengaruhi melalui dua proses utama iaitu proses pertambahan semulajadi dan imigrasi antarabangsa. Peningkatan penduduk melalui proses pertambahan semulajadi ini adalah berkait rapat dengan peningkatan dalam kualiti kehidupan penduduk. Misalnya, ekoran dari pembangunan pesat ekonomi dan sosial negara telah memberi kesan ke atas kadar fertiliti dan mortaliti penduduk di negara ini. Sementara itu berdasarkan kajian Lim Chong Yah 1967, dalam sejarah pertumbuhan penduduk Semenanjung Malaysia, unsur fertiliti dan mortaliti memainkan peranan penting selepas perang dunia kedua . Kesan ini juga dirasai oleh negara jiran dengan meningkatnya kemasukan migran untuk mencari pekerjaan telah menyumbang kepada kadar pertumbuhan penduduk di negara ini. Menurut kajian ( Jackson,1961;Vlieland,1932 dan Nathan,1922 ) pertumbuhan penduduk Negara sebelum ini lebih banyak dipengaruhi oleh faktor migrasi ( Hairi Abdullah, 1989). Menurut Abdul Majid Mat Salleh (1989), peralihan demografi merupakan satu proses perubahan dalam mortaliti dan fertiliti penduduk dari satu aras yang tinggi kepada aras yang rendah.
Pembangunan yang berlaku di Semenanjung Malaysia turut sama berlaku di Sabah dan Sarawak. Bahkan banyak kawasan di Sabah dan Sarawak mula mengalami proses urbanisasi yang pesat sejak dua dekad yang lalu. Masyarakat mula mengalami perubahan bukan semata-mata dari aspek ekonomi tetapi juga gaya hidup dan pemikiran individu. Perubahan-perubahan ini dilihat turut mempengaruhi trend dan pola perlakuan demografi pasangan dalam keluarga. Tren ini dapat dilihat dengan lebih jelas sekiranya kita merujuk kepada data Banci Penduduk dan Kajian Penduduk dan Keluarga Negara anjuran LPPKN. Analisis ke atas data ini boleh membantu memberi suatu gambaran berkaitan impak pembangunan yang berlaku di Malaysia ke atas profil demografi penduduk dan cabaran yang wujud daripada perubahan tersebut kepada negara di masa depan.

Peta 1 di bawah ini menunjukkan kawasan kajian ini, iaitu Semenanjung Malaysia dan Sabah dan Sarawak. Kesemua analisis yang dibuat dalam kajian ini mengambarkan perubahan keluarga dan tingkat fertiliti di seluruh kawasan ini dalam aspek demografi.


Peta 1 : Kawasan Kajian Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak

3.1 TREND PERUBAHAN DAN PERTUMBUHAN PENDUDUK MALAYSIA

Fenomena dan corak pertumbuhan semulajadi penduduk di Malaysia telah berubah disebabkan oleh migrasi di sekitar tahun 1911 dan 1931 kepada pertambahan semulajadi yang disebabkan oleh perbezaan diantara fertiliti dan mortaliti sekitar tahun 1931 hingga sekitar tahun 1989 ( Hairi Abdullah, 1989 ).
Graf 1 menunjukkan tren perubahan dan pertumbuhan penduduk di Malaysia untuk tempoh 1980 hingga 2005. Secara keseluruhan, maklumat dari jadual ini jelas menunjukkan berlaku peningkatan daripada segi saiz penduduk di ketiga-tiga wilayah di Malaysia dalam tempoh berkenaan. Graf tersebut juga menunjukkan peningkatan jumlah penduduk tahunan yang jelas bagi ketiga-tiga kawasan tersebut. Misalnya, berlaku peningkatan penduduk sekitar sekali ganda di Semenanjung Malaysia dan Sarawak manakala di Sabah meningkatnya adalah lebih tiga kali ganda untuk tempoh 1980 hingga 2005.



Graf 1: Jumlah Penduduk Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, 1980 –2005

Sumber: 1. Jabatan Perangkaan Malaysia; Laporan Banci Penduduk 1980,1991 Jilid 1.
2. Jabatan Perangkaan Malaysia; Bank Data Negeri dan Daerah Malaysia 2005.
Bagaimanapun, merujuk kepada graf 2, kadar pertumbuhan purata tahunan penduduk untuk ketiga-tiga wilayah ini, jelas menunjukkan trend penurunan. Secara keseluruhan, penurunan kadar pertumbuhan tersebut agak perlahan bagi Semenanjung Malaysia dan Sarawak dengan mengambil masa selama 25 tahun untuk menurunkan kadar pertumbuhan purata tahunan. Bagi Sabah, penurunan dalam kadar pertumbuhannya hanya mula berlaku menjelang tahun 1990an dan hanya mula menunjukkan tren penurunan yang agak signifiken kepada 3.8 peratus pada tahun 1991-2000. Tren penurunan tersebut terus berlaku dengan menghampiri kadar pertumbuhan bagi Semenanjung Malaysia dan Sarawak pada awal abad ke-21 apabila Sabah mencatatkan kadar pertumbuhan purata tahunan terendah.

Graf 2 :Kadar Pertumbuhan Purata Tahunan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, 1980 –2005


Hal ini dipengaruhi oleh faktor pertambahan semulajadi yang agak tinggi tetapi juga didorong oleh faktor migrasi masuk antarabangsa dari kalangan warga asing ke negeri tersebut. Bagaimanapun, menjelang tahun 1990-an berikutan usaha penguatkuasaan undang-undang imigresen yang ketat ke atas kemasukan imigran asing ke wilayah tersebut, disertai pelbagai usaha untuk membawa pembangunan sosial dan ekonomi yang sekaligus mewujudkan transformasi sosial dan budaya ke atas masyarakat setempat, maka kadar pertumbuhan penduduk Sabah telah berjaya diperlahankan sehingga mendekati angka nasional menjelang tahun 2005.
Selain merujuk kepada angka saiz penduduk dan kadar pertumbuhan penduduk, berikut dipaparkan trend penurunan fertiliti bagi ketiga-tiga wilayah berkenaan dan seterusnya faktor-faktor yang menyumbang kepada penurunan trend tersebut dibincangkan. Jadual 1 menunjukkan min anak dilahirkan secara konsisten telah menurun di Semenanjung Malaysia dan Sarawak sejak tahun 1980 hingga 2004. Sementara dalam kes di Sabah, perubahan dalam min anak dilahirkan masih tidak jelas. Malahan, min anak dilahirkan bagi penduduk Sabah diperhatikan lebih tinggi dengan tahap penurunan yang lebih perlahan berbanding tren yang berlaku di Semenanjung Malaysia dan Sarawak.
Jadual 1. Min Bilangan Anak yang Pernah Dilahirkan Mengikut Kumpulan Umur, Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, 1980-2004

Umur
Semenanjung Sabah
Sarawak
1980 1984 1994 2004 1980 1989• 2004 1980 1989• 2004
15-19 0.8 0.9 0.7 0.7 0.9 0.9 0.8 0.8 0.8 0.8
20-24 1.5 1.5 1.2 1.2 1.9 1.8 1.6 1.6 1.5 1.5
25-29 2.4 2.3 2.1 1.8 2.9 2.9 2.5 2.7 2.3 2.2
30-34 3.6 3.5 3.1 2.6 4.0 3.9 3.3 3.9 3.3 2.9
35-39 4.7 4.2 3.9 3.4 5.1 4.6 4.3 4.9 4.1 3.5
40-44 5.5 5.4 4.4 3.9 5.6 5.5 5.1 5.4 4.5 3.7
45-49 5.9 6.1 4.9 3.9 5.6 6.0 5.6 5.8 5.4 3.9
Jumlah 3.6 3.6 3.4 3.1 3.7 3.6 3.8 3.6 3.2 3.1

Sumber : 1.Jabatan Perangkaan Malaysia ;Laporan Banci Penduduk 1980.
2. LPPKN ; Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia, 1984, 1994, dan 2004
3. • LPPKN Kajian Penduduk dan Keluarga, Sabah dan Sarawak 1989
Trend penurunan fertiliti dalam keluarga juga boleh diperhatikan daripada maklumat berkaitan dengan kadar kelahiran kasar yang berlaku di ketiga-tiga wilayah ini. Graf 3 menunjukkan bagi tempoh lebih tiga dekad lalu, trend penurunan dalam kadar kelahiran kasar di Semenanjung Malaysia dan Sarawak lebih konsisten berbanding di Sabah. Faktor-faktor populasi perlu diambil kira dalam perancangan pembangunan dalam mencapai status negara maju menjelang tahun 2020. Hal ini terkandung dalam perancangan jangka panjang yang terdapat dalam wawasan 2020 ( Rohani Abdul Razak, 2006 ).


Sumber : Jabatan Perangkaan Malaysia-Buku Tahunan Perangkaan Malaysia:1980, 1990 dan 2000.

Merujuk kepada graf 3, Sabah mengalami penurunan dalam kadar kelahiran kasar diperhatikan lebih perlahan tetapi mulai mengalami penurunan lebih pantas menjelang tahun 2000. Secara keseluruhan, kadar kelahiran kasar di Sabah pada tahun 2004 adalah hampir satu pertiga daripada kadar kelahiran kasar Sabah pada tahun 1980. Ini membuktikan bahawa usaha-usaha pembangunan yang pesat berlaku di ketiga-tiga wilayah ini menjelang abad ke-21, disertai dengan kegigihan pihak berkuasa mengawal kemasukan lebih ramai pendatang asing ke wilayah di sebelah Malaysia Timur telah berjaya mengurangkan tingkat kelahiran ke tahap lebih rendah berbanding beberapa dekad sebelumnya.

4.0 KESAN PERALIHAN DEMOGRAFI
Antara kesan peralihan demografi adalah kadar pertumbuhan pendduudk semula jadi mengalami perubahan yang mendadak. Dalam peringkat pertama model peralihan demografi. Kadar pertumbuhan semula jadi boleh dikatakan hamper kosong serta berubah-ubah dan meledak dengan tiba-tiba apabila peralihan ini sampai ke peringkat akhir. Di peringkat ketiga, kadar pertumbuhan semula jadi penduduk jatuh dengan drastik.
Selain itu, struktur umur penduduk juga mengalami perubahan dengan jelas apabila penduduk memasuki peringkat kedua model peralihan demografi. Pada peringkat ini, terdapat jurang yang besar antara kadar kelahiran dan kadar kematian. Jumlah penduduk muda dan produktif yang dapat member sumbangan kepada Negara adalah tinggi. Pada peringkat ketiga dan akhir model peralihan, kumpulan umur tua meningkat hasil daripada kejatuhan dalam kadar kematian dan jangka hayat hayat yang panjang disebabkan amalan pemakanan yang seimbang dan terdapat kemudahan kesihatan seperti hospital yang lengkap. Memandangkam perubahan ekonomi dan demografi berkait rapat antara satu sama lain, nisbah penduduk bandar dan luar bandar juga turut berubah. Perubahan peralihan demografi daripada peringkat pertama ke peringkat seterusnya bermaksud bilangan penduduk bandar menjadi semakin ramai daripada penduduk di luar bandar. Dalam kata lain, proses peralihan demografi menggambarkan satu tahap dalam proses urbanisasi.
Perkembangan dalam peralihan demografi juga menampakkan keseimbangan antara penduduk dengan sumber di dalam sesebuah kawasan atau tempat. Kesan peralihan demografi yang berikutnya adalah nilai nyawa manusia mula dihargai, kos membesarkan anak meningkat, kadar perkahwinan dalam kalangan kanak-kanak menurun, taraf hidup bertambah baik, kesihatn penduduk umumnya bertambah baik, taraf pendidikan seseorang bertambah maju dan revolusi dalam perkembangan teknologi menjadi semakin penting dan canggih.

5.0 KESIMPULAN
Model Peralihan Demografi merupakan satu bentuk graf garis yang menunjukkan atau menggambarkan satu perubahan dalam pola kependudukan seperti kadar kematian, kadar kelahiran, kadar pertumbuhan semula jadi, komposisi umur dan jantina penduduk, indikator kualiti hidup di sesebuah negara dan sebagainya yang telah, sedang dan akan dilalui oleh sesebuah nrgara. Terdapat tiga tahap atau peringkat peralihan dalam Model Peralihan Demografi dan ketiga-tiga tahap ini bukan sahaja boleh ditafsirkan daripada segi kependudukan tetapi juga mampu mengukur tahap perkembangan ekonomi dan sosial yang dicapai oleh sesebuah negara.
Di Malaysia kadar pertumbuhan penduduk yang tinggi sejak lebih 30 tahun yang lalu telah memberikan impak yang besar terhadap negara dan masyarakat. Pendekatan yang baik haruslah dicari untuk menyelasaikan masalah yang ditimbulkan oleh kadar pertumbuhan yang tinggi. Selain daripada peruntukan yang lebih besar disediakan dalam bidang pendidikan kerajaan juga haruslah melihat masalah sosiodemografi itu daripada persepektif sesuatu kawasan. Dalam kata lain, asimilasi struktural yang berlaku hasil daripada pelaksanaan program pembangunan anjuran pemerintah selama ini telah memperhebatkan lagi proses memodenkan kebudayaan masyarakat. Hal ini memberi kesan ke atas tingkahlaku rakyat terutama berkaitan dengan usaha-usaha pembentukan keluarga dan mengawal fertiliti selaras dengan perancangan pembangunan negara.

1 ulasan: